Wednesday, February 15, 2017

PIALA FA : TTEAM MARA 





Pasukan T-Team mengatasi Angkatan Tentera Malaysia, ATM, 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat satu sama dalam aksi yang berlarutan hingga 120 minit.

Pada babak awal perlawanan, tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pertama ATM menerusi sepakan penalti seawal minit keenam selepas pertahanan skuad The Titans, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris menarik pemain ATM, Zainal Jakaria.

Penyerang import ATM Pavel Smolyachenko yang mengambil sepakan, mudah menewaskan penjaga gawang, Muhammad Izzuddin Muhammad Hussin.

Tersentap jaringan awal  tersebut, anak buah Rahmad Darmawan mengatur gerakan ke kubu pelawat bagi memburu gol penyamaan, namun mudah dipatahkan benteng ATM.

Peluang keemasan T-Team hadir pada minit ke-29, tetapi Dilshod Sharofetdinov yang menyambung hantaran Mamadou Samassa gagal menepati sasaran.

Bersambung babak kedua, skuad The Titans melakukan pertukaran apabila mengeluarkan Ahmad Takhiyuddin Roslan dan digantikan pemain lincah, Mohd Nor Hakim Hassan.

Pemain sayap itu dijatuhkan Mohamad Noraiman Talib dalam kotak penalti dan Farhod Tadjiev mudah menyempurnakan sepakan untuk mengikat kedudukan pada minit ke-50.

Kedua-dua pasukan terpaksa mengharungi masa tambahan 30 minit untuk mencari pemenang selepas terikat SATU SAMA dalam 90 minit permainan.

Sebelum itu, T-Team juga dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-112, tetapi gagal menamatkan saingan lebih awal apabila sepakan Samassa dapat dibaca penjaga gol gantian ATM, Mohamad Hafizuddin Azuhar.

0 comments:

Post a Comment