Wednesday, July 12, 2017

LIGA SUPER : T-TEAM BENAM KELANTAN

KUALA TERENGGANU 11 Julai 2017 SELASA


Liga Super pertemuan T-Team menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam tadi berkesudahan memihak kepada tuan rumah 3-1. 

Selepas berjaya bangkit dalam tempoh 10 minit terakhir permainan, 

Sekaligus T-Team berjaya mencipta kemenangan pertama selepas mencatatkan keputusan satu seri, dan dua kekalahan pada aksi awal pertengahan musim 2017.

Awal permainan pada minit kedua tuan rumah memperolehi peluang untuk membuka tirai gol selepas Mamadou Samassa berjaya melepasi perangkap offside Kelantan, hasil hantaran Oii Shee Keong.

Namun tendangan leret pemain import dari Mali itu dapat dapat ditepis keluar penjaga gawang Kelantan, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid yang turut beraksi cemerlang pada separuh masa pertama dengan menangkis beberapa lagi percubaan berbahaya dari rangkaian pemain barisan hadapan tuan rumah.

Pada minit ke-18, Samassa terpaksa digantikan Muhammad Fauzi Abdul Kadar selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki kirinya.

Dalam pada itu, Kelantan yang sering melakukan serangan balas hampir memperolehi gol pertama mereka pada minit ke-44.

Gerakan pemain berjersi 18, Mohd Khairul Izuan Rosli yang lolos ke dalam kotak penalti mencemaskan barisan benteng The Titans dan penjaga gol, Mohd Suhaimi Hussin buat seketika, sebelum sepakannya melambung melepasi pintu gawang. 

Bermula babak separuh masa kedua, keadaan hujan renyai-renyai tidak menghalang kedua-dua pasukan saling mengatur serangan..

Gol pertama yang dicari akhirnya terlebih dahulu menjadi milik The Red Warriors pada minit ke-64 menerusi rembatan Mohd Khairul Izuan Rosli dari tengah luar kotak penalti tuan rumah, selepas menerima hantaran Mohammad Qayyum Marjoni Sabul.

Pada minit ke-80, T-Team memperolehi gol penyamaan menerusi Dilshod Sharofetdinov selepas menyambar bola tepisan Mohamad Ramdhan, berpunca dari gerakan Muhamad Fauzi.

Malah Muhamad Fauzi yang dikenali dengan panggilan ‘Mamu’ dikalangan rakan sepasukan turut mencatat nama selaku penjaring apabila menanduk masuk gol kedua T-Team, hasil hantaran Syed Sobri Syed Mohd pada minit-84.

Gol tersebut menaikkan lagi semangat pasukan tuan rumah apabila serangan balas pada minit ke-87, berjaya menjelmakan gol ketiga buat T-Team, apabila peluang tersebut tenang disudahkan Joseph Yannick.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehinggalah pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed meniupkan wisel tamat permainan.         T-Team 3, Kelantan 1.

0 comments:

Post a Comment