Monday, February 5, 2018

Lee Jun-Hyeob sah import kelima Terengganu FC

Lee Jun-Hyeob sah import kelima Terengganu FC


Pencarian pemain import kelima Terengganu FC (TFC) akhirnya sudah berakhir apabila diisi oleh bekas pemain Gangwon FC, Lee Jun-Hyeob bagi menggantikan Park Seung il yang ditamatkan kontrak.
Laman facebook rasmi TFC turut mengumumkan pemain yang berusia 29 tahun itu hadir di Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebentar tadi bagi menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan tersebut.
Sebelum ini, pengendali pasukan itu, Irfan Bakti Salim meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi seorang lagi pemain import dari Korea Selatan, Park Seung il selepas diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan.
Pemain yang beraksi di posisi serangan itu dibawa masuk bagi menggantikan rakan senegaranya, Kim Hyun-woo yang dilanda kecederaan serius ketika aksi pra musim di Kemboja.
Hyun Woo yang beraksi dengan pasukan PKNP FC musim lepas itu dilaporkan perlu berehat selama seminggu saja namun selepas rawatan lanjut, pemain yang memiliki ketinggian 1.85 meter itu disahkan gagal pulih dalam tempoh terdekat.
Ketiadaan Hyun Woo memaksa pasukan itu mencari pemain lain bagi mengisi kuota pemain import Asia sebelum Liga Super membuka tirainya pada 3 Februari depan.
Kemudian, PBSNT mengumumkan bekas pemain Ulsan Hyundai, Park Seung-il bagi mengisi kuota pemain import Asia. Beliau bermain untuk kelab Anyang FC dalam saingan divisyen 2 Liga Korea musim lepas.
Mengulas mengenai sasaran untuk saingan Liga Malaysia musim ini, Irfan berkata pasukan Terengganu menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu Piala.
“Ini salah satu objektif kami merangkul sekurang-kurangnya satu piala. Walau bagaimanapun saya akui ini bukan satu tugasan mudah namun kami akan berusaha untuk mencapai impian itu,” kata Irfan Bakti.
TFC sekadar berkongsi satu mata setelah kedudukkan terikat 2-2 pada aksi pembuka tirai saingan Liga Super bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. 

0 comments:

Post a Comment