Sunday, February 4, 2018

THT rampas kembali mahkota kejuaraan MHL

THT rampas kembali mahkota kejuaraan MHL


Terengganu Hockey Team (THT) menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila berjaya merampas kembali kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2018 daripada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) selepas mencipta kemenangan 2-1 dalam aksi terakhir di Stadium Hoki Kuala Lumpur, petang tadi.
THT dan KLHC hanya dibezakan dengan satu mata dan aksi terakhir itu menjadi penentuan untuk bergelar juara.
Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan cemerlang dalam suku pertama, namun usaha jentera serangan mereka gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Peluang keemasan buat THT hadir dalam suku kedua untuk membuka jaringan tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol KLHC, Adrian Andy Albert, dan perlawanan kekal tanpa jaringan hingga tamat separuh masa pertama.
Rentak perlawanan meningkat apabila perlawanan bersambung dalam suku ketiga. KLHC berjaya memecah kebuntuan jaringan menerusi Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ke-36.
Namun, THT bangkit untuk menyamakan kedudukan selepas Faizal Saari menjaringkan gol pada minit ke-50 sebelum Lopez Barreiros menggandakan jaringan tiga minit kemudian, sekali gus memastikan pasukannya merampas semula kejuaraan liga daripada KLHC.

0 comments:

Post a Comment