Sunday, March 25, 2018

Chong Wei galas tugas berat di Gold Coast

Chong Wei galas tugas berat di Gold Coast 

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui berdepan tugas mencabar apabila perlu beraksi dalam semua perlawanan untuk acara berpasukan campuran pada saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, bulan depan.
Ini kerana Malaysia hanya menyenaraikan pemain nombor enam dunia itu bagi menggalas tugas perseorangan lelaki dalam acara berpasukan campuran dan individu.
"Memang tugas yang mencabar tetapi saya tidak anggap ia sebagai beban. Sebaliknya, saya jadikan ia sebagai motivasi untuk melakukan yang terbaik bagi membantu pasukan," kata pemain berusia 36 tahun itu.
Chong Wei berkata, dia optimis Malaysia mampu mencapai sasaran meraih pingat emas pertama badminton dalam acara berpasukan campuran tetapi dalam masa sama mengingatkan rakan sepasukan agar berwaspada dengan ancaman India dan England yang bakal menjadi pencabar utama.
"Lebih kurang seminggu lagi sebelum Sukan Komanwel bermula, fokus kini terarah terhadap persiapan untuk acara berpasukan campuran. Saya percaya kami mempunyai peluang tinggi untuk memenangi emas pertama badminton dalam acara berpasukan campuran.
"Namun, India dan England juga memiliki pasukan yang kuat, jadi kita perlu berwaspada," katanya yang membantu Malaysia meraih emas berpasukan campuran di Melbourne 2006 dan New Delhi 2010.
Pada kedua-dua edisi itu, dia turut memenangi emas acara perseorangan lelaki.
Untuk saingan berpasukan campuran di Gold Coast, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Kanada, Ghana dan Seychelles.
Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke separuh akhir dengan lawan pada peringkat itu akan ditentukan menerusi undian sebaik tamat semua aksi peringkat kumpulan.
Selain Chong Wei, Malaysia turut dibarisi beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan (beregu wanita), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie (beregu campuran) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran tiga emas untuk dibawa pulang.

0 comments:

Post a Comment